Friday, February 15, 2013

~MAHAR ( MAS KAHWIN ) MENURUT PERSEPEKTIF ISLAM~




MAHAR ( MAS KAHWIN ) MENURUT PERSEPEKTIF ISLAM

Definisi Mahar

Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut
dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd.
Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh
suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.

Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan )
1984 menyatakan “ mas kahwin “ bererti pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar
di bawah Hukum Syara’ oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan
diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai
hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Hukum Syara’,
dapat dinilai dengan wang.
Terdapat banyak dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri antaranya firman
Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 4 :
“ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu
sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu
sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagai
nikmat yang baik lagi lazat “

Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Nisa ayat 24:
“ Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya ( setelah dia
menjadi isteri kamu ) maka berikanlah mereka maharnya ( ajr ) sebagai satu ketetepan yang
difardhu ( diwajibkan oleh Allah Taala )”

Pemberian mahar suami sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri.
Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri
serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga
merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.

Walau bagaimanapun mahar tidaklah termasuk di antara rukun-rukun nikah atau
syarat sahnya sesuatu pernikahan. Sekiranya pasangan bersetuju bernikah tanpa
menentukan jumlah mahar, pernikahan tersebut tetap sah tetapi suami diwajibkan
membayar mahar misil ( yang sepadan ). Ini berdasarkan satu kisah yang berlaku pada
zaman Rasulullah s.a.w. di mana seorang perempuan telah berkahwin tanpa disebutkan
maharnya. Tidak lama kemudian suaminya meninggal dunia sebelum sempat bersama
dengannya ( melakukan persetubuhan ) lalu Rasulullah mengeluarkan hukum supaya
perempuan tersebut diberikan mahar misil untuknya.

 Pemberian Mahar

Memberi mahar kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah, isteri
berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah. Manakala dalam mazhab Syafi’e
pula diwajibkan mahar bukan disebabkan akad nikah yang sah sahaja tetapi juga
dengan persetubuhan. Sekiranya akad nikah tersebut fasid ( tidak sah ), suami tidak
wajib memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.




Powered by BannerFans.com

No comments: